The Pussycat Dolls bakal bersatu semula?
31 Jan Selepas Nicole Scherzinger meluahkan harapannya untuk melihat The Pussycat Dolls kembali bersatu, kini pengasas dan pencipta kumpulan wanita seksi terkenal ini, Robin Antin merasakan perkara yang sama.
Dipetik dari Perez Hilton, Antin positif The Pussycat Dolls akan kembali pada masa akan datang.
"The Pussycat Dolls adalah salah satu kumpulan pop wanita terhebat dan berjaya sepanjang sepuluh tahun ini. Peminat kami masih lagi setia dan mahukan lebih lagi.
"Sudah tentu saya berasa positif tentang perkara ini. Saya telah bercakap dengan mereka dan ternyata mereka turut berasa perkara yang sama."
Apabila disoal jika ada di antara mereka yang terasa sejak perpecahan pada tahun 2010 lalu, Antin menegaskan perkara tersebut tidak pernah berlaku.
"Sudah pasti tidak. Apabila anda mempunyai lima wanita yang tinggal bersama sepanjang 24 jam, sudah pasti akan timbul sedikit konflik.
"Tiada siapa yang harus dipersalahkan. Hakikatnya, mereka sangat menyayangi antara satu sama lain seperti adik-beradik."
Sementara itu Antin kini dalam proses untuk mencipta sebuah lagi kumpulan wanita terbaru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. The Pussycat Dolls sebelum ini dianggotai oleh Scherzinger, Melody Thornton, Jessica Sutta, Ashley Roberts dan Kimberly Wyatt.
Mereka pernah terkenal dengan lagu-lagu seperti "Don't Cha", "Stickwitu", "When I Grow Up", "I Hate This Part" dan "Jai Ho! (You Are My Destiny)".